Followers

Saturday, May 26, 2012

'Darth Vader' minta tanah untuk letak kapal angkasa



SEORANG lelaki memakai kostum Darth Vader berjalan masuk ke bangunan dewan bandar raya Odessa, Ukraine pada Isnin lalu.


KIEV, Ukraine - Seorang lelaki memakai kostum watak jahat filem Star Wars, Darth Vader muncul di pejabat Dewan Bandar Raya Odessa, selatan Ukraine dan menuntut sebidang tanah untuk meletakkan kapal angkasanya, kata pihak berkuasa kelmarin
Dia berjalan menuju pintu masuk bangunan dewan bandar raya berkenaan sambil membawa sebilah pedang cahaya plastik dengan jubah hitamnya berjuntaian ditiup angin pada Isnin lalu.
"Saya ialah Darth Vader," katanya kepada seorang pengawal keselamatan di hadapan bangunan.
"Saya dengar terdapat tawaran lot tanah kosong di Odessa dan ramai pegawai pentadbiran bandar raya ini serta datuk bandar telah menyertai kuasa jahat.
"Saya datang menuntut lot tanah saya untuk dijadikan tempat parkir kapal angkasa saya. Saya fikir tiada masalah untuk permohonan saya diluluskan kerana mereka dikuasai kuasa jahat seperti Darth Vader," tambahnya kepada tiga pengawal keselamatan yang tercengang.
Laman web tempatan, Dumskaya.net melaporkan kunjungan itu dibuat ketika kontroversi tercetus berhubung keputusan pihak dewan bandar raya Odessa mengagihkan beberapa bidang tanah tepi pantai secara percuma tetapi kepada cuma lima orang warga Ukraine.
'Darth Vader' menyerahkan surat surat permohonannya kepada seorang kerani dewan bandar raya sebelum beredar.
Gelagatnya mencetuskan sensasi di laman perkongsian video YouTube. - AFP

Gurun Atacama kubur ikan paus



GAMBAR pada 11 November 2011 menunjukkan Menteri Aset Negara Chile, Catalina Parot melihat fosil ikan paus yang digali di Gurun Atacama.


SANTIAGO - Sejumlah fosil ikan paus prasejarah ditemui di padang pasir paling kering dunia, Gurun Atacama di utara Chile.
Penemuan itu berlaku secara tidak sengaja semasa pekerja-pekerja sedang meluaskan sebuah lebuh raya melintasi gurun berkenaan pada Jun tahun lalu tetapi projek tersebut telah dihentikan.
Setakat ini, fosil-fosil itu ditemui di sebuah kawasan sepanjang 240 meter atau berkeluasan dua buah padang bola sepak di lebuh raya berkenaan.
Seorang saintis Institusi Smithsonian yang mengkaji penemuan tersebut, Nicholas Pyenson berkata, lokasi berkenaan merupakan sebuah lagun pada masa dahulu.
Menurutnya, ikan-ikan paus itu dipercayai mati antara dua juta hingga tujuh juta tahun lalu.
Lebih 75 ekor fosil ikan paus ditemui setakat ini termasuk 20 rangka yang sempurna.
"Saya berpendapat ikan-ikan paus itu mati pada masa yang sama," kata Pyenson.
Kebanyakan fosil tersebut merupakan ikan paus baleen yang berukuran sekitar lapan meter atau sebesar sebuah bas. - AP

ShareThis

pop 1